1 Nov 2025 5:27 pm: Utusan Borneo
Kerjasama perkasa inisiatif kesihatan digital di luar bandar
KOTA SAMARAHAN: Kerjasama kukuh antara agensi kerajaan dan pihak berkaitan perlu diperkasakan bagi memastikan inisiatif kesihatan digital seperti MediRover dan MediDoc dapat dilaksanakan secara menyeluruh serta memberi manfaat kepada komuniti luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, usaha tersebut memerlukan mesyuarat penyelarasan antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Digital, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pengajian Tinggi dan agensi berkaitan bagi mengelak pertindihan program serta memperkukuh pelaksanaan dasar sedia ada.
“Saya cadangkan kita bersama Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni supaya diadakan mesyuarat penyelarasan antara kementerian dan pihak berkaitan untuk mereka membentangkan apa yang telah dilaksanakan, dasar kerajaan sedia ada serta inisiatif yang telah dibangunkan.
“Daripada situ kita boleh melihat bagaimana untuk menyokong dan memperkukuh usaha memperluaskan perkhidmatan MediRover dan MediDoc tanpa berlaku pertindihan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran MediRover dan MediDoc oleh CelcomDigi dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (HPUNIMAS) di sini, hari ini.
Melalui penyelarasan itu, Fadillah berkata kementerian terlibat boleh menilai sistem sedia ada serta mengenal pasti ruang untuk penambahbaikan dan perluasan pelaksanaan di seluruh negara.
Mengulas lanjut katanya, MediRover dan MediDoc merupakan inovasi kesihatan digital yang bertujuan meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan luar bandar Sarawak melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian 5G.
Justeru katanya, pelaksanaan inisiatif MediRover dan MediDoc tidak harus terhad di Sarawak sahaja, malah boleh diperluaskan ke Sabah dan Semenanjung Malaysia, khususnya ke kawasan pedalaman.
"Sebab itu saya katakan tadi, kita kena libatkan Kementerian Digital juga kerana mereka bertanggungjawab terhadap pendigitalan negara termasuk penggunaan teknologi AI.
"Manakala Kementerian Komunikasi pula melihat kepada aspek kesalinghubungan dari segi telekomunikasi dan sebagainya yang mana di bawah mereka ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menumpukan kepada pembangunan komunikasi di luar bandar," jelasnya.
Selain itu, Fadillah turut menekankan kepentingan penglibatan universiti awam dalam menyokong agenda kesihatan digital negara.
"Kita juga perlu libatkan universiti, sebab kepakaran dan sumber manusia kita ada di situ. Mereka ada inovasi, ada penyelidikan yang boleh diterjemahkan kepada aplikasi praktikal untuk negara kita," tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi Kugan Thirunavakarasu berkata, MediRover telah dilaksanakan di lebih 30 kawasan luar bandar yang kurang mendapat akses perkhidmatan kesihatan, sekali gus memanfaatkan kira-kira 8,000 penduduk Sarawak dengan capaian penuh.
"Projek MediDoc juga telah berjaya dijalankan di Ulu Skrang, Long Busang Belaga dan Lubok Antu di bawah program KPT Prihatin MADANI, membuktikan potensi kesihatan digital di kawasan pedalaman.
"CelcomDigi kini menyediakan liputan 4G dan 5G sehingga 94 peratus di Sarawak, manakala kawasan yang tiada liputan akan diliputi melalui satelit, menjadikan gabungan 4G, 5G, dan satelit memastikan capaian penuh di seluruh negeri," ujarnya.
17 Jan 2025 : I Love Borneo
Fasa Pertama Pusat Kesihatan Prima UNIMAS Di Samarahan Sudah Dibuka
Hospital Pengajar Unimas Fasa Pertama Dibuka
Fasa Pertama Pusat Kesihatan Prima UNIMAS Di Samarahan Sudah Dibuka. Sarawak kini selangkah lebih dekat untuk mempertingkatkan standard penjagaan kesihatan selepas pembukaan rasmi fasa pertama Hospital Pengajar Unimas di Prima Health Centre, Rabu lalu (15 Jan).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memuji kejayaan ini sebagai pencapaian penting dalam usaha pembangunan penjagaan kesihatan negeri.
Fasa Pertama Dibuka, Fasa Kedua Menyusul
“Walaupun hanya fasa pertama yang beroperasi sekarang, fasa kedua akan menyusul untuk meningkatkan lagi kemudahan hospital ini,” ujar beliau dalam ucapannya semasa majlis perasmian.
Abang Johari turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan atas kerjasama mereka dalam pembangunan hospital ini. Dengan teknologi terkini yang lengkap, hospital ini dijangka menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat Sarawak.
Fokus pada Komuniti Warga Emas
Beliau turut menekankan bahawa hospital ini akan membantu klinik awam dan swasta di kawasan berdekatan, terutama dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan warga emas.
“Populasi kita akan terdiri daripada 16 peratus warga emas berumur 60 tahun ke atas tidak lama lagi. Penjagaan kesihatan yang baik dan berkesan amat diperlukan,” katanya.
Menurut beliau, teknologi canggih kini mampu membantu menambah baik rawatan, terutamanya untuk komuniti yang semakin menua.
Teknologi Masa Depan dalam Penjagaan Kesihatan
Abang Johari juga berkongsi wawasan tentang kemajuan perubatan masa depan, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan peranti bioperubatan untuk menawarkan solusi penjagaan kesihatan yang lebih baik.
“Saya telah diberi taklimat tentang teknologi baharu seperti X-ray canggih dan peranti digital yang mampu memberikan keputusan tepat secara efisien,” katanya.
Beliau menambah, “Masa depan penjagaan kesihatan mungkin membolehkan AI menganalisis data kesihatan peribadi, mengenal pasti punca penyakit, dan memberi kaedah rawatan terbaik.”
Biasiswa Khas untuk Kajian Perubatan
Mengakhiri ucapannya, Abang Johari menyatakan bahawa kerajaan Sarawak bercadang untuk memperkenalkan biasiswa khas untuk kajian perubatan sekiranya pendapatan negeri terus meningkat.
“Jika pendapatan Sarawak meningkat, kita akan kongsi dengan rakyat, termasuk melalui biasiswa untuk anak-anak kita yang ingin menjalankan kajian dalam bidang perubatan,” katanya penuh optimis.
3 Nov 2024 : I Love Borneo
Pusat Kesihatan Prima UNIMAS Dibuka 4 November, Tawar Perkhidmatan Kesihatan Untuk Orang Awam
Pusat Kesihatan Prima UNIMAS Dibuka 4 November, Tawar Perkhidmatan Kesihatan Untuk Orang Awam. Pusat Kesihatan Prima, Hospital Pengajar, dan Pusat Kesihatan Prima Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan mula menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada orang awam mulai 4 November 2024 (Isnin).
Inisiatif ini membolehkan masyarakat sekitar mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang lengkap dan berkualiti tinggi di UNIMAS.
Perlu membawa kad pengenalan
Orang awam yang ingin mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Prima perlu membawa kad pengenalan sebagai pengesahan identiti. Bagi penjawat awam pula, mereka dikehendaki membawa kad staf dan Guarantee Letter (GL) bercetak untuk memudahkan proses pendaftaran.
Pusat Kesihatan Prima ini akan beroperasi mengikut jadual berikut:
- Isnin hingga Khamis: 8.00 pagi – 1.00 petang, 2.00 petang – 5.00 petang
- Jumaat: 8.00 pagi – 11.45 pagi, 2.15 petang – 5.00 petang
- Sabtu, Ahad & Cuti Umum: Tutup
Dalam masa yang sama, pihak UNIMAS berharap pembukaan pusat kesihatan ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan memperkukuhkan lagi hubungan antara universiti dan komuniti sekeliling.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 082-582050/2051/2052 atau menghantar emel ke hpunimas@unimas.my.
26 Oct 2022 @ 2:28 pm : Dayak Daily
Klinik kesihatan di Hospital Pengajar Unimas
dijadual siap Mei 2023 – Fadillah
2 Mac 2022 @ 5:10 pm : Utusan Malaysia
Hospital Pengajar Unimas 300 Katil Siap 2023
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, kini dalam sedang menyiapkan kerja-kerja pembinaan hospital pengajar berkapasiti 300 katil yang dijangka siap 2023. Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, hospital pengajar tersebut kelak akan mewujudkan satu situasi menang-menang kepada penduduk Sarawak terutamanya bagi mendapatkan perkhidmatan dan nasihat perubatan yang ditawarkan. “Hospital pengajar ini bukanlah pesaing kepada pusat perubatan yang lain, malah, ia merupakan komplimentari kepada yang sudah lama beroperasi. “Justeru, apabila siap nanti ia akan menonjolkan bahagian selatan Sarawak sebagai hab perubatan yang unggul di Kepulauan Borneo selain sebagai pusat pendidikan yang cemerlang,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Unimas dan Normah Medical Specialist Centre (NMSC) di universiti berkenaan di sini, hari ini. Beliau menjelaskan bahawa kerja-kerja pembinaan hospital berkenaan sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada 2023. Antara objektif utama MoU ini adalah untuk menjalinkan kerjasama dari segi perkhidmatan kepakaran dan pendidikan perubatan selain meneroka peluang untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan. “MoU tersebut diadakan bagi meneruskan kerjasama yang utuh di antara kedua-dua pihak yang telah lama terjalin. “Kali terakhir MoU itu ditandatangani adalah pada tahun 2015,” tambahnya. Pada masa yang sama, beliau turut berharap MoU tersebut saling memperkukuhkan hubungan kedua-dua pihak dan seterusnya menyemarakkan lagi perkhidmatan kesihatan di Sarawak menerusi jalinan kerjasama perkhidmatan klinikal, pendidikan perubatan dan penyelidikan. Kata beliau, Unimas telah berjaya melahirkan 59 orang doktor pakar semenjak 2007. Pada majlis tersebut Mohamad Kadim mewakili Unimas manakala NMSC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr. Au Yong Kien Hoe.








